09 September 2010

PEMBAZIRAN YANG DAHSYAT SEMASA RAYA AIDILFITRI

Hari Raya akan disambut esok. Selamat hari raya saya ucapkan buat semua yang sudi ke blog saya yang baru setahun jagung ini.

Saya merasa kita sudah terlalu membazir pada setiap kali kita menyambut raya Aidilfitri. Terutama kepada orang Johor. Adakah ini yang disuruh oleh baginda Rasulullah SAW?

Pembaziran berlaku pada masa kita berpuasa dan berlanjutan ke bulan Syawal. Antaranya dalam persiapan raya seperti menukar semua yang ada. Langsir yang boleh diguna lagi dibungkus dan disimpan di dalam setor. Alas meja, sarung bantal, tikar, permaidani yang nampak buruk sedikit kita buang dan semuanya kita ganti dengan yang baru. Perabot yang elok lagi, kita letak di belakang rumah, beli yang baru dari Court Mammoth.

Kuih-muih juga begitu. Kita beli ikut nafsu semata-mata. Tidak cukup 10 jenis, kita tambah jadi 25 jenis. Saya pernah menziarahi guru saya, sekarang sudah meninggal. Beliau cuma menyediakan roti canai putar untuk saya yang datang pada hari raya kedua. Beliau tanya saya, agak-agak Nabi kita dulu suruh kita sedia macam-macam juadah yang penuh di atas meja? Saya tahu, duit beliau banyak disumbangkan kepada orang-orang miskin. Juga membiayai beberapa makanan untuk tadika Islam di kawasannya. Setelah beliau meninggal, ramai orang terasa. Tiada lagi yang menyumbangkan kepada sekolah tadika tersebut.

Maksud saya, untuk apa kita menunjuk-nunjuk yang kita ini serba ada? Jika ada saudara-mara kita yang masih susah dan serba kekurangan. Kajilah di sekeliling kita, ramai orang Islam kita yang serba kekurangan dan tidak cukup makan. Pemberian makanan RMT untuk orang miskin oleh kerajaan pun sudah dikurangkan kerana kerajaan pun sudah kekeringan wang. Dulu semasa mewah, kerajaan banyak membazir. Membeli alat bantuan bagi menyokong penggunaan Bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains. Nilainya jutaan ringgit. Sekarang, murid-murid, ibu-bapa dan guru disuruh berjimat dan menderma kepada sekolah untuk membiayai bayaran bil elektrik dan bil air serta bil telefon. Ia satu fenomena yang menyedihkan kerana seolah-olah kita berada pada masa zaman pemerintahan penjajah.

Saya nukilkan contoh di atas bahawa kita orang Melayu Islam perlu berjimat-cermat. Jangan jadi seperti contoh di atas tadi. Semasa kita banyak duit dan rezeki, kita kena ingat bahawa kita tidak kaya selama-lamanya. Semasa kaya kita kena ingat jiran-tetangga dan kaum kerabat kita.

Rata-rata pendapatan orang Melayu kita sekitar RM 600-RM 3000. Yang RM 4000 ke atas merangkumi jumlah yang kecil. Gaji jaga pun masih di paras kemiskinan tegar. Alangkah gaji yang RM 3000 pun masih tersepit, bagaimana yang bergaji RM 600? Bagaimana mereka menyambut Aidilfitri?

Ada sahabat Cina saya berkata "Kalau tak ada wang kita tak boleh laya ma, kalau ada wang, hari-hari pun layalah"
Tetapi, kita tidak, tak ada wang pun raya juga. Tidak kiralah kita korek duit di mana? Pinjam kawan, pinjam along, pinjam bank, kad kredit, akhirnya kita susah selama-lamanya. Selama-lama kita hidup, kita dibebani hutang. Ini belum bab pembaziran besar-besaran semasa mengahwinkan anak. Setakat ini untuk mengahwinkan anak minimum paling teruk pun RM 10 000. Itu untuk jemputan 500 surat- 700 surat. Jika menjemput 3000 jemputan, mahu kita keluarkan modal RM 25 000. Di mana kita hendak cari duit itu?

Singapura lebih berjimat-cermat, sebab itulah negara itu tidak begitu terjejas semasa kegawatan ekonomi 1997 dahulu. Kita juga harus tanamkan sikap berjimat-cermat. Agama kita mengajar kita, kalau makan, jangan sampai ada makanan yang terbuang begitu sahaja. Lihatlah betapa banyak nasi, lauk-pauk dan kuih-muih yang kita buang ke dalam tong sampah setiap hari pada bulan puasa bulan ini?

Sekian sahaja omelan saya pada pagi yang syahdu ini. Yang baik datang dari Allah SWT dan yang negatif semua datang daripada kekurangan diri saya. Selamat hari raya maaf zahir batin. Semoga anda semua sentiasa selamat di dunia mahupun di akhirat.

2 comments:

Aryadevi said...

iya kawan, itu semua bagian dari budaya manusia...tinggal pengelolaan diri dalam mengendalikan hawa nafsu..

KARISMA said...

Ya, Aryadewi,
Namun pembaziran itu sudah menjadi budaya yang menyusahkan.