Ini kira kawan makan kawan. Sebab? Saya suka dengan akhbar ini. Hari-hari saya beli surat khabar ini. Tidak cukup dengan itu, hari-hari juga saya melayari berita online akhbar ini. Tetapi hari-hari juga hati saya meronta-ronta. Saya seakan-akan bersahabat dengan orang fasik? Saya tidak mahu dia terus melakukan 'Kemungkaran' di depan mata saya.
Mereka mendakwa akhbar mereka paling laris di pasaran. Namun saya dapati akhbar itu tidak lebih seperti majalah hiburan. Segala-galanya menceritakan jenayah, dan yang paling diambil berat ialah jenayah seks seperti cabul, rogol, sumbang mahram dan seumpamanya.
Kes khalwat artis terkenal dibesar-besarkan. Saya cukup menyampah dengan artis tersebut. Kalau sudah berkepit sana, berkepit sini elok dinikahkan segera. Ia akan jadi ikutan anak muda yang menjadi audien akhbar tersebut.
Sungguh malang keputusan judi 4D disiarkan dalam iklan yang mula dihentikan 1 September. Cukup mudah untuk berjudi sekarang. Cuma SMS sahaja. Saya tertanya-tanya siapakah pemilik akhbar ini? Adakah milik orang Islam? Kenapa ia hanya target kepada keuntungan? Manakah tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat yang semakin runtuh akhlaknya itu?
Memang banyak perkara yang baik yang dihebahkan oleh akhbar tersebut. Namun beberapa kelemahan itu menjadi tanda tanya saya. Kadang-kadang malu membaca surat khabar itu di hadapan anak. Adakah orang sekarang terlalu open minded, sehingga perkara dalam kelambu pun dibincangkan secara terbuka. Inikah yang dikatakan era globalisasi suatu masa dahulu?
Semoga satu masa ia dipimpin oleh pengurusan yang lebih profesional. Saya tidak mahu lagi tajuk seperti hubungan Rooney dengan pelacur gila seks diperbesar mengalahkan perang di Afhanistan. Apakah yang kita dapat daripada berita yang mengaibkan itu? Apakah tujuannya cerita itu disensasikan? Adakah ia mempengaruhi ekonomi kita semua dan rakyat global? Gasaklah Rooney hendak terlungkup dengan seribu pelacurkah, biarkan dia. Anak muda kita yang rosak akhlaknya lebih kita pentingkan. Kerana ia telah menjadi masalah kepada kita sekarang.
Pembuangan bayi saban hari disiarkan di media massa. Hingga ia menjadi satu polemik yang menakutkan. Inilah budaya barat yang sungguh jijik, yang kita takuti pada masa lampau telah berlaku. Oleh sebab masyarakat kita terlalu terbukalah, maka semua ini telah berlaku.
Sesungguhnya dalam masyarakat kita mesti ada yang menegah kemungkaran. Ini kerana kemungkaran kini berleluasa dengan hebat sekali. Kita tidak boleh lagi bergerak secara individu kerana usaha ini tidak akan ke mana-mana. Banteraslah maksiat itu agar masyarakat kita tidak akan terus rosak. Satu masa nanti ada anak luar nikah yang akan meminang anak kita. Bagaimana keputusan kita ketika itu? Saranan Nabi supaya memilih jodoh empat perkara termasuk keturunan akan hancur berkecai.
No comments:
Post a Comment