26 September 2010

BUTA DISEBABKAN PAKAI KANTA LEKAP

DIA dilahirkan sempurna. Matanya celik, bisa melihat. Namun, ia tidak lama. Ketika usianya 17 tahun, dia disahkan buta. Warna-warni alam yang pernah dilihatnya sejak itu bersatu menjadi hitam. Gelap-gelita.

Harun Ahmad, satu nama yang boleh disifatkan besar dalam dunia muzik. Populariti komposer cacat penglihatan ini melonjak seiring lonjakan lagu Jesnita nyanyian Exist dalam mendaki dan menakluki carta muzik tanah air sekitar tahun 2002. Harun Ahmad, 41, sebenarnya telah mencipta lagu sejak tahun 1991.
Bakti dan kemahirannya juga diiktiraf apabila meraih Anugerah Ikon dalam Majlis Fiesta Insan Istimewa 2008. Dia juga banyak berjasa dalam penghasilan lagu-lagu tema.

Rabun
Matanya sebenarnya rabun sejak umurnya lapan tahun lagi. Ia mungkin berpunca kerana dia kerap terjatuh semasa kanak-kanak.

Namun, dakwanya, jika dia tidak memakai kanta lekap pada usia 17 tahun mungkin hari ini dia sekadar rabun biasa dan masih boleh melihat.

“Memang sekarang saya reda menjalani kehidupan sebagai seorang yang buta. Tetapi saya menyesal pakai kanta lekap.

“Ketika itu, saya muda remaja. Saya jenis yang aktif dan suka bersukan. Tahu sahajalah tahun 1980-an, mana ada teknologi menipiskan kanta cermin mata.
“Dengan kuasa cermin mata saya di antara 700 hingga 800, anda bayangkan sendiri bagaimana tebalnya.

“Saya fikir, untuk selesa ketika bersukan, mungkin lebih baik saya pakai kanta lekap yang semakin diperkatakan pada masa itu,” ujarnya ketika ditemui Jurnal di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Harun berkata, kali pertama dia memakai kanta lekap, dia sudah merasa seperti ada yang tidak kena. Masih segar dalam ingatannya, apa yang berlaku pada hari itu.

Dia memakai kanta lekap pada pukul 2 petang dan pada pukul 6 petang, dia sudah mengalami pening-pening sehingga muntah.

Namun, dia teruskan juga memakainya. Selepas enam bulan, detik-detik bergelar si buta mula menghampiri hidup lelaki berasal dari Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, Johor itu.

“Saya bangun pagi itu, saya lihat semua objek berpecah tiga. Saya hanya boleh melihat bahagian atas objek sementara bahagian bawah gelap sahaja.

Cemas
“Saya cemas. Saya kemudian ajak seorang kawan ke Hospital Johor Bahru, doktor kata, saya mengalami retinal detachment (kelekangan retina) atau retina tertanggal daripada saraf mata.

“Pada hari itu juga, saya dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah,” katanya.

Bukan dua tiga hari Harun tinggal di hospital tetapi tiga bulan. Daripada masalah kelekangan retina berubah ke masalah katarak. Empat pembedahan dilaluinya.
Namun, usaha itu tidak berjaya. Doktor akhirnya sahkan dia tiada peluang untuk melihat lagi.

“Bukan mudah untuk seorang yang normal menerima dirinya tiba-tiba buta.
“Bayangkan, saya datang ke hospital tanpa tongkat dan saya keluar dari hospital dengan bertongkat. Saya berusaha menjalani pembedahan demi pembedahan namun ia masih tidak berjaya,” ujarnya.

Ditanya bagaimana dia pasti, apa yang berlaku kepadanya kerana memakai kanta lekap, Harun berkata, selepas buta, doktor memberitahu, masalah rabunnya selama ini adalah disebabkan masalah retina.

Dakwanya, bagi keadaan seperti itu, memakai kanta lekap telah memburukkan lagi atau mempercepatkan menjadi buta.

“Ada banyak kes yang menunjukkan risiko kanta lekap. Ada kes jangkitan bakteria sehingga buta dan ada juga kes kanta lekap tak boleh ditanggalkan sehingga perlu menjalani pembedahan di Jerman.

Kanta lekap
“Seorang doktor pakar mata memberitahu rakan saya yang ingin memakai kanta lekap ‘Kalau kamu nak nampak handsome, pakailah kanta lekap, tapi kamu mungkin akan buta macam Harun,” beritahunya.
Jelas Harun, selepas tidak berjaya dalam semua pembedahan itu, dia masih tidak berputus asa. Dia cuba menjalani pembedahan kelima di hospital swasta namun, tetap tidak berjaya. Cuma mata kirinya boleh melihat kehadiran cahaya.
Harun pada mulanya berasa rendah diri dan sangat berduka dengan apa yang menimpanya.

Tetapi, apabila semakin kerap bertemu dengan rakan-rakan senasib di hospital dan Persatuan Orang Buta di Brickfields, dia semakin boleh menerima keadaannya itu.

Di situ juga dia mula meneroka minatnya dalam bidang muzik.
“Saya juga belajar mengurut dan belajar macam mana untuk melaksanakan aktiviti harian. Saya bersyukur kerana saya pernah melihat berbanding rakan-rakan saya yang buta sejak lahir.

“Kini, saya tidak berasa malu atau marah jika dipanggil buta, kerana memang hakikatnya saya buta,” katanya yang biasanya ke mana-mana dengan dipimpin seorang rakan.

Harun berkahwin dengan penulis lirik, Fauziah Hashim pada tahun 1996. Ketika itu Harun berusia 26 tahun dan sudah buta sepenuhnya.

Mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata Fatin Nurhaziqah, 12, Fatin Nurhidayah, 9, dan Mohd. Farish Hakim, 6. Bagaimanapun jodoh mereka tidak berpanjangan apabila bercerai pada tahun 2006.


Wajah
“Memang saya tak dapat melihat wajah mereka dan wajah sesiapa pun (yang saya tak pernah tengok sebelum saya buta).


“Tapi saya boleh membayangkan daripada apa yang orang ceritakan,” katanya yang mengakui sejak buta mempunyai pendengaran, firasat dan daya ingatan yang lebih tajam.

“Saya boleh mengingat nombor telefon ramai orang dengan begitu sahaja. Rakan saya kadang-kadang tanya nombor telefon rakan lain daripada saya,” ujarnya.
Pakar mata dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Nurliza Khalidin menjelaskan, pada sesetengah kes, penggunaan kanta lekap adalah perlu.

Misalnya kanak-kanak berumur kurang tiga tahun yang mengalami masalah katarak, ahli sukan atau kuasa cermin mata yang tidak seimbang.
“Namun, jika tidak ada keperluan seperti itu, doktor biasanya tidak akan menggalakkan pemakaiannya,” ujarnya.

Berhubung isu penggunaan kanta lekap sehingga menyebabkan berlakunya kelekangan retina (yang boleh menyebabkan buta), Nurliza berpendapat, lazimnya kanta lekap tidak membawa masalah kelekangan retina kerana kanta lekap hanya menyentuh bahagian depan mata sedang retina di bahagian dalam.
“Mungkin sesetengah orang mendakwa penggunaan kanta lekap telah menyebabkan berlakunya kelekangan retina kerana kebetulan mereka memakai kanta lekap pada masa itu.

“Kelekangan retina kebiasaannya berlaku pada mereka yang sudah lama menghidap rabun jauh dan menyebabkan retina semakin menipis dan berisiko terkoyak apabila terhentak atau kemalangan.

“Namun, diakui memang terdapat banyak kes buta disebabkan kanta lekap terutama disebabkan masalah jangkitan kuman dan penggunaan yang tidak mengikut aturan,” katanya.

Dipetk daripada Rencana Kosmo Online.

14 September 2010

SKMM PANTAU HASUTAN PERKAUMAN DI INTERNET

SKMM tubuh pasukan khas tangani hasutan perkauman di internet
13/09/2010 11:15pm


JELEBU 13 Sept. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) telah menubuhkan sebuah pasukan khas bersama polis untuk menangani ancaman terhadap keselamatan dan perpaduan negara menerusi internet, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, sejak awal tahun ini, SKMM telah menerima 533 aduan mengenai salahguna kemudahan internet khususnya rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter.

"Dari 533 aduan itu, 26 peratus merupakan aduan mengenai percubaan merosakkan perpaduan kaum di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran kementeriannya di Kuala Klawang di sini malam ini.

"Berdasarkan aduan ini, kerajaan berpendapat sudah tiba masanya untuk membuat tindakan tegas kerana (ada) pihak telah ingkar dengan nasihat kita.

"Sudah sampai masanya... kalau tidak soal perkauman ini akan sentiasa dipermainkan,” katanya.

Rais berkata, kerajaan tidak menyalahkan Facebook atau Twitter kerana medium ini sepatutnya boleh diguna untuk meninggikan tamadun negara, sebaliknya ada pihak cuba meranapkan perpaduan sedia ada.

Kira-kira 7,000 orang menghadiri majlis itu yang diselang-seli dengan persembahan nyanyian, tarian serta penyampaian bantuan kepada warga Jelebu yang mengalami kesusahan. - Bernama

Sedutan Utusan Online

13 September 2010

DATUK K PEMBUNUH

Suspek utama pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga sahabatnya ialah Datuk K. Patmanaban dari Jalan Kemboja, 33 Off Jalan Sultan Ahmad Shah, Banting.

Tidak perlulah saya hendak menghuraikan kekejaman Datuk Syaitan ini.

Tugas kita adalah menunjukkan kemarahan yang amat sangat agar golongan kejam seperti ini tidak akan terus menjalankan kesamsengan mereka.

Luahkan kemarahan kita dalam sembang sosial, facebook, blog, dan sebagainya sebagai tanda bahawa kita sangat terkejut dan marah dengan peristiwa paling tragis di Malaysia ini selepas kisah Mona Fandey pada dekad yang lalu.

Namun usahlah kaitkan peristiwa ini dengan racist kerana ia merupakan kerja kumpulan gangters yang sudah mula bermaharajalela di beberapa tempat di negara kita yang tercinta ini beberapa tahun kebelakangan ini.

10 September 2010

Misteri Kehilangan Sosilawati Lawiya

Jangan timbulkan spekulasi berhubung kehilangan Sosilawati
2010/09/09
Hmetro Online

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengingatkan mana-mana pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kes jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki yang dilaporkan hilang bersamanya sejak 30 Ogos lalu.Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sehingga kini polis tidak menerima sebarang maklumat terbaru berhubung kes itu termasuk menerima laporan yang mendakwa Sosilawati mati dibunuh.

"Kita masih siasat lagi kes ini. Setakat ini polis masih belum menerima sebarang maklumat terbaru yang boleh membawa kepada penemuan mereka.

"Berhubung khabar angin yang mengatakan dia (Sosilawati) telah mati dibunuh, pihak saya langsung tidak mendengar perkara seperti itu. Apa-apa pun biar polis siasat dahulu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang semasa berada di Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Ekoran kejadian itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya, Isnin lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sudah menyalurkan maklumat yang diperolehi daripada saksi-saksi berhubung kes terbabit kepada polis Kuala Lumpur (KL).

"Kes ini adalah di bawah siasatan pihak polis KL. Namun apa juga bantuan...apa sahaja kerjasama yang diperlukan kita akan beri dan itu memang amalan pasukan polis. "Ada maklumat yang disalurkan pada pihak kita dan kita sudah salurkan (maklumat itu) kepada polis KL termasuk maklumat yang diperolehi dari saksi di Banting berhubung kejadian itu," katanya kepada pemberita selepas melawat anggota trafik yang bertugas di khemah Ops Sikap di Sungai Buloh.

Tinjauan Bernama di perkarangan rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak dekat sini mendapati rumah itu lengang dan hanya terdapat beberapa individu dipercayai saudara dan kenalan rapat yang berada di rumah berkenaan.-Bernama

SENARAI KISAH KEHILANGAN SOSILAWATI LAWIYA:

1.Apa kata adik Sosilawati dari Seri Medan? Klik


2.Adakah Kehilangan Sosilawati Satu Konspirasi? Klik

3.Apa Kata Anak Sosilawati? Klik

4.Doa Ibu Sosilawati. Klik

Tajuk-tajuk Akhbar Sungguh Meloyakan

Ini kira kawan makan kawan. Sebab? Saya suka dengan akhbar ini. Hari-hari saya beli surat khabar ini. Tidak cukup dengan itu, hari-hari juga saya melayari berita online akhbar ini. Tetapi hari-hari juga hati saya meronta-ronta. Saya seakan-akan bersahabat dengan orang fasik? Saya tidak mahu dia terus melakukan 'Kemungkaran' di depan mata saya.

Mereka mendakwa akhbar mereka paling laris di pasaran. Namun saya dapati akhbar itu tidak lebih seperti majalah hiburan. Segala-galanya menceritakan jenayah, dan yang paling diambil berat ialah jenayah seks seperti cabul, rogol, sumbang mahram dan seumpamanya.

Kes khalwat artis terkenal dibesar-besarkan. Saya cukup menyampah dengan artis tersebut. Kalau sudah berkepit sana, berkepit sini elok dinikahkan segera. Ia akan jadi ikutan anak muda yang menjadi audien akhbar tersebut.

Sungguh malang keputusan judi 4D disiarkan dalam iklan yang mula dihentikan 1 September. Cukup mudah untuk berjudi sekarang. Cuma SMS sahaja. Saya tertanya-tanya siapakah pemilik akhbar ini? Adakah milik orang Islam? Kenapa ia hanya target kepada keuntungan? Manakah tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat yang semakin runtuh akhlaknya itu?

Memang banyak perkara yang baik yang dihebahkan oleh akhbar tersebut. Namun beberapa kelemahan itu menjadi tanda tanya saya. Kadang-kadang malu membaca surat khabar itu di hadapan anak. Adakah orang sekarang terlalu open minded, sehingga perkara dalam kelambu pun dibincangkan secara terbuka. Inikah yang dikatakan era globalisasi suatu masa dahulu?

Semoga satu masa ia dipimpin oleh pengurusan yang lebih profesional. Saya tidak mahu lagi tajuk seperti hubungan Rooney dengan pelacur gila seks diperbesar mengalahkan perang di Afhanistan. Apakah yang kita dapat daripada berita yang mengaibkan itu? Apakah tujuannya cerita itu disensasikan? Adakah ia mempengaruhi ekonomi kita semua dan rakyat global? Gasaklah Rooney hendak terlungkup dengan seribu pelacurkah, biarkan dia. Anak muda kita yang rosak akhlaknya lebih kita pentingkan. Kerana ia telah menjadi masalah kepada kita sekarang.

Pembuangan bayi saban hari disiarkan di media massa. Hingga ia menjadi satu polemik yang menakutkan. Inilah budaya barat yang sungguh jijik, yang kita takuti pada masa lampau telah berlaku. Oleh sebab masyarakat kita terlalu terbukalah, maka semua ini telah berlaku.

Sesungguhnya dalam masyarakat kita mesti ada yang menegah kemungkaran. Ini kerana kemungkaran kini berleluasa dengan hebat sekali. Kita tidak boleh lagi bergerak secara individu kerana usaha ini tidak akan ke mana-mana. Banteraslah maksiat itu agar masyarakat kita tidak akan terus rosak. Satu masa nanti ada anak luar nikah yang akan meminang anak kita. Bagaimana keputusan kita ketika itu? Saranan Nabi supaya memilih jodoh empat perkara termasuk keturunan akan hancur berkecai.

09 September 2010

PEMBAZIRAN YANG DAHSYAT SEMASA RAYA AIDILFITRI

Hari Raya akan disambut esok. Selamat hari raya saya ucapkan buat semua yang sudi ke blog saya yang baru setahun jagung ini.

Saya merasa kita sudah terlalu membazir pada setiap kali kita menyambut raya Aidilfitri. Terutama kepada orang Johor. Adakah ini yang disuruh oleh baginda Rasulullah SAW?

Pembaziran berlaku pada masa kita berpuasa dan berlanjutan ke bulan Syawal. Antaranya dalam persiapan raya seperti menukar semua yang ada. Langsir yang boleh diguna lagi dibungkus dan disimpan di dalam setor. Alas meja, sarung bantal, tikar, permaidani yang nampak buruk sedikit kita buang dan semuanya kita ganti dengan yang baru. Perabot yang elok lagi, kita letak di belakang rumah, beli yang baru dari Court Mammoth.

Kuih-muih juga begitu. Kita beli ikut nafsu semata-mata. Tidak cukup 10 jenis, kita tambah jadi 25 jenis. Saya pernah menziarahi guru saya, sekarang sudah meninggal. Beliau cuma menyediakan roti canai putar untuk saya yang datang pada hari raya kedua. Beliau tanya saya, agak-agak Nabi kita dulu suruh kita sedia macam-macam juadah yang penuh di atas meja? Saya tahu, duit beliau banyak disumbangkan kepada orang-orang miskin. Juga membiayai beberapa makanan untuk tadika Islam di kawasannya. Setelah beliau meninggal, ramai orang terasa. Tiada lagi yang menyumbangkan kepada sekolah tadika tersebut.

Maksud saya, untuk apa kita menunjuk-nunjuk yang kita ini serba ada? Jika ada saudara-mara kita yang masih susah dan serba kekurangan. Kajilah di sekeliling kita, ramai orang Islam kita yang serba kekurangan dan tidak cukup makan. Pemberian makanan RMT untuk orang miskin oleh kerajaan pun sudah dikurangkan kerana kerajaan pun sudah kekeringan wang. Dulu semasa mewah, kerajaan banyak membazir. Membeli alat bantuan bagi menyokong penggunaan Bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains. Nilainya jutaan ringgit. Sekarang, murid-murid, ibu-bapa dan guru disuruh berjimat dan menderma kepada sekolah untuk membiayai bayaran bil elektrik dan bil air serta bil telefon. Ia satu fenomena yang menyedihkan kerana seolah-olah kita berada pada masa zaman pemerintahan penjajah.

Saya nukilkan contoh di atas bahawa kita orang Melayu Islam perlu berjimat-cermat. Jangan jadi seperti contoh di atas tadi. Semasa kita banyak duit dan rezeki, kita kena ingat bahawa kita tidak kaya selama-lamanya. Semasa kaya kita kena ingat jiran-tetangga dan kaum kerabat kita.

Rata-rata pendapatan orang Melayu kita sekitar RM 600-RM 3000. Yang RM 4000 ke atas merangkumi jumlah yang kecil. Gaji jaga pun masih di paras kemiskinan tegar. Alangkah gaji yang RM 3000 pun masih tersepit, bagaimana yang bergaji RM 600? Bagaimana mereka menyambut Aidilfitri?

Ada sahabat Cina saya berkata "Kalau tak ada wang kita tak boleh laya ma, kalau ada wang, hari-hari pun layalah"
Tetapi, kita tidak, tak ada wang pun raya juga. Tidak kiralah kita korek duit di mana? Pinjam kawan, pinjam along, pinjam bank, kad kredit, akhirnya kita susah selama-lamanya. Selama-lama kita hidup, kita dibebani hutang. Ini belum bab pembaziran besar-besaran semasa mengahwinkan anak. Setakat ini untuk mengahwinkan anak minimum paling teruk pun RM 10 000. Itu untuk jemputan 500 surat- 700 surat. Jika menjemput 3000 jemputan, mahu kita keluarkan modal RM 25 000. Di mana kita hendak cari duit itu?

Singapura lebih berjimat-cermat, sebab itulah negara itu tidak begitu terjejas semasa kegawatan ekonomi 1997 dahulu. Kita juga harus tanamkan sikap berjimat-cermat. Agama kita mengajar kita, kalau makan, jangan sampai ada makanan yang terbuang begitu sahaja. Lihatlah betapa banyak nasi, lauk-pauk dan kuih-muih yang kita buang ke dalam tong sampah setiap hari pada bulan puasa bulan ini?

Sekian sahaja omelan saya pada pagi yang syahdu ini. Yang baik datang dari Allah SWT dan yang negatif semua datang daripada kekurangan diri saya. Selamat hari raya maaf zahir batin. Semoga anda semua sentiasa selamat di dunia mahupun di akhirat.