26 September 2010

BUTA DISEBABKAN PAKAI KANTA LEKAP

DIA dilahirkan sempurna. Matanya celik, bisa melihat. Namun, ia tidak lama. Ketika usianya 17 tahun, dia disahkan buta. Warna-warni alam yang pernah dilihatnya sejak itu bersatu menjadi hitam. Gelap-gelita.

Harun Ahmad, satu nama yang boleh disifatkan besar dalam dunia muzik. Populariti komposer cacat penglihatan ini melonjak seiring lonjakan lagu Jesnita nyanyian Exist dalam mendaki dan menakluki carta muzik tanah air sekitar tahun 2002. Harun Ahmad, 41, sebenarnya telah mencipta lagu sejak tahun 1991.
Bakti dan kemahirannya juga diiktiraf apabila meraih Anugerah Ikon dalam Majlis Fiesta Insan Istimewa 2008. Dia juga banyak berjasa dalam penghasilan lagu-lagu tema.

Rabun
Matanya sebenarnya rabun sejak umurnya lapan tahun lagi. Ia mungkin berpunca kerana dia kerap terjatuh semasa kanak-kanak.

Namun, dakwanya, jika dia tidak memakai kanta lekap pada usia 17 tahun mungkin hari ini dia sekadar rabun biasa dan masih boleh melihat.

“Memang sekarang saya reda menjalani kehidupan sebagai seorang yang buta. Tetapi saya menyesal pakai kanta lekap.

“Ketika itu, saya muda remaja. Saya jenis yang aktif dan suka bersukan. Tahu sahajalah tahun 1980-an, mana ada teknologi menipiskan kanta cermin mata.
“Dengan kuasa cermin mata saya di antara 700 hingga 800, anda bayangkan sendiri bagaimana tebalnya.

“Saya fikir, untuk selesa ketika bersukan, mungkin lebih baik saya pakai kanta lekap yang semakin diperkatakan pada masa itu,” ujarnya ketika ditemui Jurnal di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Harun berkata, kali pertama dia memakai kanta lekap, dia sudah merasa seperti ada yang tidak kena. Masih segar dalam ingatannya, apa yang berlaku pada hari itu.

Dia memakai kanta lekap pada pukul 2 petang dan pada pukul 6 petang, dia sudah mengalami pening-pening sehingga muntah.

Namun, dia teruskan juga memakainya. Selepas enam bulan, detik-detik bergelar si buta mula menghampiri hidup lelaki berasal dari Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, Johor itu.

“Saya bangun pagi itu, saya lihat semua objek berpecah tiga. Saya hanya boleh melihat bahagian atas objek sementara bahagian bawah gelap sahaja.

Cemas
“Saya cemas. Saya kemudian ajak seorang kawan ke Hospital Johor Bahru, doktor kata, saya mengalami retinal detachment (kelekangan retina) atau retina tertanggal daripada saraf mata.

“Pada hari itu juga, saya dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah,” katanya.

Bukan dua tiga hari Harun tinggal di hospital tetapi tiga bulan. Daripada masalah kelekangan retina berubah ke masalah katarak. Empat pembedahan dilaluinya.
Namun, usaha itu tidak berjaya. Doktor akhirnya sahkan dia tiada peluang untuk melihat lagi.

“Bukan mudah untuk seorang yang normal menerima dirinya tiba-tiba buta.
“Bayangkan, saya datang ke hospital tanpa tongkat dan saya keluar dari hospital dengan bertongkat. Saya berusaha menjalani pembedahan demi pembedahan namun ia masih tidak berjaya,” ujarnya.

Ditanya bagaimana dia pasti, apa yang berlaku kepadanya kerana memakai kanta lekap, Harun berkata, selepas buta, doktor memberitahu, masalah rabunnya selama ini adalah disebabkan masalah retina.

Dakwanya, bagi keadaan seperti itu, memakai kanta lekap telah memburukkan lagi atau mempercepatkan menjadi buta.

“Ada banyak kes yang menunjukkan risiko kanta lekap. Ada kes jangkitan bakteria sehingga buta dan ada juga kes kanta lekap tak boleh ditanggalkan sehingga perlu menjalani pembedahan di Jerman.

Kanta lekap
“Seorang doktor pakar mata memberitahu rakan saya yang ingin memakai kanta lekap ‘Kalau kamu nak nampak handsome, pakailah kanta lekap, tapi kamu mungkin akan buta macam Harun,” beritahunya.
Jelas Harun, selepas tidak berjaya dalam semua pembedahan itu, dia masih tidak berputus asa. Dia cuba menjalani pembedahan kelima di hospital swasta namun, tetap tidak berjaya. Cuma mata kirinya boleh melihat kehadiran cahaya.
Harun pada mulanya berasa rendah diri dan sangat berduka dengan apa yang menimpanya.

Tetapi, apabila semakin kerap bertemu dengan rakan-rakan senasib di hospital dan Persatuan Orang Buta di Brickfields, dia semakin boleh menerima keadaannya itu.

Di situ juga dia mula meneroka minatnya dalam bidang muzik.
“Saya juga belajar mengurut dan belajar macam mana untuk melaksanakan aktiviti harian. Saya bersyukur kerana saya pernah melihat berbanding rakan-rakan saya yang buta sejak lahir.

“Kini, saya tidak berasa malu atau marah jika dipanggil buta, kerana memang hakikatnya saya buta,” katanya yang biasanya ke mana-mana dengan dipimpin seorang rakan.

Harun berkahwin dengan penulis lirik, Fauziah Hashim pada tahun 1996. Ketika itu Harun berusia 26 tahun dan sudah buta sepenuhnya.

Mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata Fatin Nurhaziqah, 12, Fatin Nurhidayah, 9, dan Mohd. Farish Hakim, 6. Bagaimanapun jodoh mereka tidak berpanjangan apabila bercerai pada tahun 2006.


Wajah
“Memang saya tak dapat melihat wajah mereka dan wajah sesiapa pun (yang saya tak pernah tengok sebelum saya buta).


“Tapi saya boleh membayangkan daripada apa yang orang ceritakan,” katanya yang mengakui sejak buta mempunyai pendengaran, firasat dan daya ingatan yang lebih tajam.

“Saya boleh mengingat nombor telefon ramai orang dengan begitu sahaja. Rakan saya kadang-kadang tanya nombor telefon rakan lain daripada saya,” ujarnya.
Pakar mata dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Nurliza Khalidin menjelaskan, pada sesetengah kes, penggunaan kanta lekap adalah perlu.

Misalnya kanak-kanak berumur kurang tiga tahun yang mengalami masalah katarak, ahli sukan atau kuasa cermin mata yang tidak seimbang.
“Namun, jika tidak ada keperluan seperti itu, doktor biasanya tidak akan menggalakkan pemakaiannya,” ujarnya.

Berhubung isu penggunaan kanta lekap sehingga menyebabkan berlakunya kelekangan retina (yang boleh menyebabkan buta), Nurliza berpendapat, lazimnya kanta lekap tidak membawa masalah kelekangan retina kerana kanta lekap hanya menyentuh bahagian depan mata sedang retina di bahagian dalam.
“Mungkin sesetengah orang mendakwa penggunaan kanta lekap telah menyebabkan berlakunya kelekangan retina kerana kebetulan mereka memakai kanta lekap pada masa itu.

“Kelekangan retina kebiasaannya berlaku pada mereka yang sudah lama menghidap rabun jauh dan menyebabkan retina semakin menipis dan berisiko terkoyak apabila terhentak atau kemalangan.

“Namun, diakui memang terdapat banyak kes buta disebabkan kanta lekap terutama disebabkan masalah jangkitan kuman dan penggunaan yang tidak mengikut aturan,” katanya.

Dipetk daripada Rencana Kosmo Online.

14 September 2010

SKMM PANTAU HASUTAN PERKAUMAN DI INTERNET

SKMM tubuh pasukan khas tangani hasutan perkauman di internet
13/09/2010 11:15pm


JELEBU 13 Sept. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) telah menubuhkan sebuah pasukan khas bersama polis untuk menangani ancaman terhadap keselamatan dan perpaduan negara menerusi internet, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, sejak awal tahun ini, SKMM telah menerima 533 aduan mengenai salahguna kemudahan internet khususnya rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter.

"Dari 533 aduan itu, 26 peratus merupakan aduan mengenai percubaan merosakkan perpaduan kaum di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran kementeriannya di Kuala Klawang di sini malam ini.

"Berdasarkan aduan ini, kerajaan berpendapat sudah tiba masanya untuk membuat tindakan tegas kerana (ada) pihak telah ingkar dengan nasihat kita.

"Sudah sampai masanya... kalau tidak soal perkauman ini akan sentiasa dipermainkan,” katanya.

Rais berkata, kerajaan tidak menyalahkan Facebook atau Twitter kerana medium ini sepatutnya boleh diguna untuk meninggikan tamadun negara, sebaliknya ada pihak cuba meranapkan perpaduan sedia ada.

Kira-kira 7,000 orang menghadiri majlis itu yang diselang-seli dengan persembahan nyanyian, tarian serta penyampaian bantuan kepada warga Jelebu yang mengalami kesusahan. - Bernama

Sedutan Utusan Online

13 September 2010

DATUK K PEMBUNUH

Suspek utama pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga sahabatnya ialah Datuk K. Patmanaban dari Jalan Kemboja, 33 Off Jalan Sultan Ahmad Shah, Banting.

Tidak perlulah saya hendak menghuraikan kekejaman Datuk Syaitan ini.

Tugas kita adalah menunjukkan kemarahan yang amat sangat agar golongan kejam seperti ini tidak akan terus menjalankan kesamsengan mereka.

Luahkan kemarahan kita dalam sembang sosial, facebook, blog, dan sebagainya sebagai tanda bahawa kita sangat terkejut dan marah dengan peristiwa paling tragis di Malaysia ini selepas kisah Mona Fandey pada dekad yang lalu.

Namun usahlah kaitkan peristiwa ini dengan racist kerana ia merupakan kerja kumpulan gangters yang sudah mula bermaharajalela di beberapa tempat di negara kita yang tercinta ini beberapa tahun kebelakangan ini.

10 September 2010

Misteri Kehilangan Sosilawati Lawiya

Jangan timbulkan spekulasi berhubung kehilangan Sosilawati
2010/09/09
Hmetro Online

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengingatkan mana-mana pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kes jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki yang dilaporkan hilang bersamanya sejak 30 Ogos lalu.Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sehingga kini polis tidak menerima sebarang maklumat terbaru berhubung kes itu termasuk menerima laporan yang mendakwa Sosilawati mati dibunuh.

"Kita masih siasat lagi kes ini. Setakat ini polis masih belum menerima sebarang maklumat terbaru yang boleh membawa kepada penemuan mereka.

"Berhubung khabar angin yang mengatakan dia (Sosilawati) telah mati dibunuh, pihak saya langsung tidak mendengar perkara seperti itu. Apa-apa pun biar polis siasat dahulu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang semasa berada di Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Ekoran kejadian itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya, Isnin lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sudah menyalurkan maklumat yang diperolehi daripada saksi-saksi berhubung kes terbabit kepada polis Kuala Lumpur (KL).

"Kes ini adalah di bawah siasatan pihak polis KL. Namun apa juga bantuan...apa sahaja kerjasama yang diperlukan kita akan beri dan itu memang amalan pasukan polis. "Ada maklumat yang disalurkan pada pihak kita dan kita sudah salurkan (maklumat itu) kepada polis KL termasuk maklumat yang diperolehi dari saksi di Banting berhubung kejadian itu," katanya kepada pemberita selepas melawat anggota trafik yang bertugas di khemah Ops Sikap di Sungai Buloh.

Tinjauan Bernama di perkarangan rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak dekat sini mendapati rumah itu lengang dan hanya terdapat beberapa individu dipercayai saudara dan kenalan rapat yang berada di rumah berkenaan.-Bernama

SENARAI KISAH KEHILANGAN SOSILAWATI LAWIYA:

1.Apa kata adik Sosilawati dari Seri Medan? Klik


2.Adakah Kehilangan Sosilawati Satu Konspirasi? Klik

3.Apa Kata Anak Sosilawati? Klik

4.Doa Ibu Sosilawati. Klik

Tajuk-tajuk Akhbar Sungguh Meloyakan

Ini kira kawan makan kawan. Sebab? Saya suka dengan akhbar ini. Hari-hari saya beli surat khabar ini. Tidak cukup dengan itu, hari-hari juga saya melayari berita online akhbar ini. Tetapi hari-hari juga hati saya meronta-ronta. Saya seakan-akan bersahabat dengan orang fasik? Saya tidak mahu dia terus melakukan 'Kemungkaran' di depan mata saya.

Mereka mendakwa akhbar mereka paling laris di pasaran. Namun saya dapati akhbar itu tidak lebih seperti majalah hiburan. Segala-galanya menceritakan jenayah, dan yang paling diambil berat ialah jenayah seks seperti cabul, rogol, sumbang mahram dan seumpamanya.

Kes khalwat artis terkenal dibesar-besarkan. Saya cukup menyampah dengan artis tersebut. Kalau sudah berkepit sana, berkepit sini elok dinikahkan segera. Ia akan jadi ikutan anak muda yang menjadi audien akhbar tersebut.

Sungguh malang keputusan judi 4D disiarkan dalam iklan yang mula dihentikan 1 September. Cukup mudah untuk berjudi sekarang. Cuma SMS sahaja. Saya tertanya-tanya siapakah pemilik akhbar ini? Adakah milik orang Islam? Kenapa ia hanya target kepada keuntungan? Manakah tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat yang semakin runtuh akhlaknya itu?

Memang banyak perkara yang baik yang dihebahkan oleh akhbar tersebut. Namun beberapa kelemahan itu menjadi tanda tanya saya. Kadang-kadang malu membaca surat khabar itu di hadapan anak. Adakah orang sekarang terlalu open minded, sehingga perkara dalam kelambu pun dibincangkan secara terbuka. Inikah yang dikatakan era globalisasi suatu masa dahulu?

Semoga satu masa ia dipimpin oleh pengurusan yang lebih profesional. Saya tidak mahu lagi tajuk seperti hubungan Rooney dengan pelacur gila seks diperbesar mengalahkan perang di Afhanistan. Apakah yang kita dapat daripada berita yang mengaibkan itu? Apakah tujuannya cerita itu disensasikan? Adakah ia mempengaruhi ekonomi kita semua dan rakyat global? Gasaklah Rooney hendak terlungkup dengan seribu pelacurkah, biarkan dia. Anak muda kita yang rosak akhlaknya lebih kita pentingkan. Kerana ia telah menjadi masalah kepada kita sekarang.

Pembuangan bayi saban hari disiarkan di media massa. Hingga ia menjadi satu polemik yang menakutkan. Inilah budaya barat yang sungguh jijik, yang kita takuti pada masa lampau telah berlaku. Oleh sebab masyarakat kita terlalu terbukalah, maka semua ini telah berlaku.

Sesungguhnya dalam masyarakat kita mesti ada yang menegah kemungkaran. Ini kerana kemungkaran kini berleluasa dengan hebat sekali. Kita tidak boleh lagi bergerak secara individu kerana usaha ini tidak akan ke mana-mana. Banteraslah maksiat itu agar masyarakat kita tidak akan terus rosak. Satu masa nanti ada anak luar nikah yang akan meminang anak kita. Bagaimana keputusan kita ketika itu? Saranan Nabi supaya memilih jodoh empat perkara termasuk keturunan akan hancur berkecai.

09 September 2010

PEMBAZIRAN YANG DAHSYAT SEMASA RAYA AIDILFITRI

Hari Raya akan disambut esok. Selamat hari raya saya ucapkan buat semua yang sudi ke blog saya yang baru setahun jagung ini.

Saya merasa kita sudah terlalu membazir pada setiap kali kita menyambut raya Aidilfitri. Terutama kepada orang Johor. Adakah ini yang disuruh oleh baginda Rasulullah SAW?

Pembaziran berlaku pada masa kita berpuasa dan berlanjutan ke bulan Syawal. Antaranya dalam persiapan raya seperti menukar semua yang ada. Langsir yang boleh diguna lagi dibungkus dan disimpan di dalam setor. Alas meja, sarung bantal, tikar, permaidani yang nampak buruk sedikit kita buang dan semuanya kita ganti dengan yang baru. Perabot yang elok lagi, kita letak di belakang rumah, beli yang baru dari Court Mammoth.

Kuih-muih juga begitu. Kita beli ikut nafsu semata-mata. Tidak cukup 10 jenis, kita tambah jadi 25 jenis. Saya pernah menziarahi guru saya, sekarang sudah meninggal. Beliau cuma menyediakan roti canai putar untuk saya yang datang pada hari raya kedua. Beliau tanya saya, agak-agak Nabi kita dulu suruh kita sedia macam-macam juadah yang penuh di atas meja? Saya tahu, duit beliau banyak disumbangkan kepada orang-orang miskin. Juga membiayai beberapa makanan untuk tadika Islam di kawasannya. Setelah beliau meninggal, ramai orang terasa. Tiada lagi yang menyumbangkan kepada sekolah tadika tersebut.

Maksud saya, untuk apa kita menunjuk-nunjuk yang kita ini serba ada? Jika ada saudara-mara kita yang masih susah dan serba kekurangan. Kajilah di sekeliling kita, ramai orang Islam kita yang serba kekurangan dan tidak cukup makan. Pemberian makanan RMT untuk orang miskin oleh kerajaan pun sudah dikurangkan kerana kerajaan pun sudah kekeringan wang. Dulu semasa mewah, kerajaan banyak membazir. Membeli alat bantuan bagi menyokong penggunaan Bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains. Nilainya jutaan ringgit. Sekarang, murid-murid, ibu-bapa dan guru disuruh berjimat dan menderma kepada sekolah untuk membiayai bayaran bil elektrik dan bil air serta bil telefon. Ia satu fenomena yang menyedihkan kerana seolah-olah kita berada pada masa zaman pemerintahan penjajah.

Saya nukilkan contoh di atas bahawa kita orang Melayu Islam perlu berjimat-cermat. Jangan jadi seperti contoh di atas tadi. Semasa kita banyak duit dan rezeki, kita kena ingat bahawa kita tidak kaya selama-lamanya. Semasa kaya kita kena ingat jiran-tetangga dan kaum kerabat kita.

Rata-rata pendapatan orang Melayu kita sekitar RM 600-RM 3000. Yang RM 4000 ke atas merangkumi jumlah yang kecil. Gaji jaga pun masih di paras kemiskinan tegar. Alangkah gaji yang RM 3000 pun masih tersepit, bagaimana yang bergaji RM 600? Bagaimana mereka menyambut Aidilfitri?

Ada sahabat Cina saya berkata "Kalau tak ada wang kita tak boleh laya ma, kalau ada wang, hari-hari pun layalah"
Tetapi, kita tidak, tak ada wang pun raya juga. Tidak kiralah kita korek duit di mana? Pinjam kawan, pinjam along, pinjam bank, kad kredit, akhirnya kita susah selama-lamanya. Selama-lama kita hidup, kita dibebani hutang. Ini belum bab pembaziran besar-besaran semasa mengahwinkan anak. Setakat ini untuk mengahwinkan anak minimum paling teruk pun RM 10 000. Itu untuk jemputan 500 surat- 700 surat. Jika menjemput 3000 jemputan, mahu kita keluarkan modal RM 25 000. Di mana kita hendak cari duit itu?

Singapura lebih berjimat-cermat, sebab itulah negara itu tidak begitu terjejas semasa kegawatan ekonomi 1997 dahulu. Kita juga harus tanamkan sikap berjimat-cermat. Agama kita mengajar kita, kalau makan, jangan sampai ada makanan yang terbuang begitu sahaja. Lihatlah betapa banyak nasi, lauk-pauk dan kuih-muih yang kita buang ke dalam tong sampah setiap hari pada bulan puasa bulan ini?

Sekian sahaja omelan saya pada pagi yang syahdu ini. Yang baik datang dari Allah SWT dan yang negatif semua datang daripada kekurangan diri saya. Selamat hari raya maaf zahir batin. Semoga anda semua sentiasa selamat di dunia mahupun di akhirat.

28 August 2010

KLINIK SUDAH JADI FARMASI

Beberapa hari lalu saya ke Klinik Parit Sulong untuk memeriksa anak lelaki saya yang demam dan batuk. Saya sungguh tidak puas hati dengan cara pembantu perubatan itu bekerja.
Dia cuma check suhu badan pada dahi anak saya. Selepas itu ambil ubat.

Kalau keadaannya seperti itu, baik saya ke farmasi.

" Nak cari apa bang?"
" Ubat demam dengan batuk"

Sama tak caranya?

Sebelum itu pada bulan lepas, saya ke klinik kerajaan itu. Pada masa itu jam 4.00 petang.

Saya antara pesakit yang lewat. Selepas saya ada seorang wanita. Saya dengar pembantu perubatan (yang macam OGI juruhebah TV 3 itu) merungut.

Dia bising kepada kakitangan bahagian pendaftaran.

" Kenapa awak ambik pesakit lagi?"
Pada hal masa tu baru jam 4.15 petang.

Jika keadaan seperti ini berterusan, saya pasti orang ramai rela berhabis duit untuk pergi ke Klinik Swasta yang lebih mesra pelanggan. Semasa Encik Hamdan dulu, layanan lagi baik. Kalau anak batuk demam, beliau check sama ada nafas anak saya itu ada asma atau tidak.

Soalnya orang baru ni nak kerja ke tidak? Kalau tak ikhlas eloklah kerja lain sahaja.

26 May 2010

DOSA-DOSA MELALUI FACEBOOK

Berikut petikan daripada zaharuddin.net:

Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.



Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-

1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.

Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Ada yang mendesak suami beli rumah, kereta, pinggan, perabot, baju, dan macam-macam lagi melalui status mereka. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Tertekanlah suami serba salah.


Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.



Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.



Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.

Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.

Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.

2) Terlebih gambar

Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi ruang kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.



Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.



Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan dating, kahwin - padahal wanita telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.



Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.



Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sin ( http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=546&Itemid=99)



3) Penyamaran

Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di internet, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.



Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.



4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.

Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.

Malangnya, golongan rupawan ini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.

Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat dosa.


5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.

Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga telah pernah diulas oleh beberapa penulis lain seperti Sdr Shahmuzir dan Ust Abu Umair.



Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend punya rakan (friend).



Ini boleh menjadi dosa, kerana :-



a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.

b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.

c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.



6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan



Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.



Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rakan lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.



Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah, tidak suci dan sebagainya?. Demikian juga ayat-ayat lain di atas.? Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.





KESIMPULAN

Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.

Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama'ukhuwah' untuk berbuat dosa.

Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.

Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

ORIGINAL ARTICLE : http://www.zaharuddin.net/content/view/930/72/

10 April 2010

SAUDARA FIKRI ABDULLAH


Semasa saya membetulkan ekon di kedai Din di Pt Bilal Batu Pahat, saya disapa oleh lelaki ini.

Memperkenalkan diri sebagai Muhammad Fikri Abdullah.
Saya berbual tentang kehidupannya.

" Semasa kecil, ayah dan ibu saya selalu bergaduh. Ayah ada membawa pulang seorang perempuan lain ke rumah kami. Hidup saya agak tertekan ketika itu"

" Ketika tertekan, saya suka mendengar suara azan dari mesjid berhampiran. Saya juga suka mendengar azan di televisyen"

" Setelah dewasa, saya menganut satu lagi agama, namun saya dapati agama itu banyak yang mengelirukan saya,. dan setelah dua tahun, saya meninggalkannya"

" Hinggalah suatu hari saya tertarik dengan rancangan agama yang dikelolakan oleh Ustaz Redhuan Tee di televisyen. Beliau juga seorang berbangsa Cina macam saya. Adakah masuk agama Islam merupakan satu kesalahan?"

" Selepas itu saya menemui Ustaz Solihin di Perkim dan mengucap dua kalimah syahadah."

Mengapa saudara Fikri ragu-ragu dengan agama saudara?

Fikri pun berhujah ......sekian-sekian........panjangnya. Tetapi saya tidak dapat siarkan di sini.
Cukuplah saya katakan Fikri menemui ketenangan di dalam Islam. Fikri berkata, biar saya tiada punya apa-apa di dunia ini, tetapi saya mempunyai Islam.

25 March 2010

SESEKALI BERANGAN-ANGAN

Daku berbaring-baring di sini

Atau mundar-mandir di bawah pepohon ini

Atau menyaksikan ciptaan Tuhan

Atau menyusuri tempat ini dengan kereta sport

Kedinginan air ini melenyapkan sebuah kepanasan

Menaiki anak tangga menuju taman bunga penuh rama-rama

Memancing di sungai yang menghijau

Berbasikal di jalan yang indah

Atau aku terbang di langit biru ini

......Agar aku dapat melupakan sejenak hiruk-pikuk dunia.......

24 March 2010

BINCANG DALAM FACEBOOK

Topik: makanan yang disediakan oleh orang yang tidak menutup aurat

Memaparkan kesemua 11 kiriman.


Rosma Nadianti Risman
Assalamualaikum ustaz, saya nak tanya, apa kesan atau hukum kalau kita makan makanan yang disediakan oleh orang yang tidak menutup aurat (maknanya dia mendedahkan aurat diluar rumah, contonya tak pakai tudung)?....penjelasan ustaz amat saya hargai, terima kasih...

Muhammad Fadhli
Senang cerita orang dah bg tu mkan je lah....

Rosma Nadianti Risman
emm..itu la..nak makan je, tapi sorang kawan ana ni tegah kami dari berbuat demikian. Tapi kami makan je, sebab kami yakin ianya Halal. Terima kasih saudara..

Shahrul Nizam
bg orng yg bertaqwa xleh


Ahmad Shafie Muhaidin
ooo.. klu x bertakwa ble la erk

Shahrul Nizam
sebenarnya tidak salah...xde dosa pun...
tetapi kita kena faham, setiap perkara yang kita uat memberi kesan kepada diri kita..
orang yang benar2 hampir kepada Allah akan jaga betul dalam semua aspek kehidupannya...itu nme orng bertaqwa...

saya mahir dalam bidang perubatan islam..
jadi, orang yang memasak dan yang menghidang makanan yg x solat n pakai tudung itu dihampiri oleh syaitan jin yang igin merosakkan makanan...maka tiada keberkatan disitu walaupun kita tahu makanan itu bersiah dari segi zahir....

Rosma Nadianti Risman
oooo..."orang yang memasak dan yang menghidang makanan yg x solat n pakai tudung itu dihampiri oleh syaitan jin yang igin merosakkan makanan...maka tiada keberkatan disitu walaupun kita tahu makanan itu bersiah dari segi zahir"..sama la seperti yg kawan saya ckp tu..emmm..habis tu macam mana?

dalam dunia sekrg ni, sukar utk menjamin peyedia makanan itu menutup aurat mereka dgn sempurna..jadi macam mana tu??

Oleh itu, buat masa ini apa yng mampu saya lakukan adalah berdoa, dan berdoa, semoga kita sentiasa dilindungi olehnya-Nya ...Aminn...

Shahrul Nizam
sebab itu ulama sarankan kepada kita untuk masak sendiri...
sediakan bekalan untuk suami, anak yg keluar bekerja dan bersekolah...
tuan2 n puan2 boleh merujuk perkara ini kepada ustaz2 @ ulama' yang masyikh...
disitu tuan2 dan puan akan menerima dalil @ HUJAH2 yang meyakinkan...
jazakallahu khair>>>>

Shahrul Nizam
sebab itu para hafiz Quran dilarang makan di kedai oleh guru meraka yang betul2 nak jaga hafalan anak murid mereka

Rahimah Ripin
patut le ank akak dh form 2 xhbs lg juzuk 1
tu skola tahfiz, yg kat umah lg hancus...
t/kasih utk penerangan ni..



23 March 2010

BAHANG HALOBA


Betapa keindahan dunia ini

Telah diragut oleh insan--insan yang haloba

Lalu kita kini berada di dunia yang panas

Dalam jangka waktu tidak sampai 30 tahun

Dunia ini lebih cepat tercemar dari yang dijangkakan

Kasihannya anak-anak yang baru lahir itu

Kerana mereka berada di bawah bara membahang


FACEBOOK KINI JADI TUMPUAN

Betapa Facebook kini menjadi tumpuan manusia sejagat, dan terasa seolah-olah manusia melupakan sejenak sumber maklumat yang lain. Ia telah menemukan semula beribu-ribu kenalan dan sahabat yang hilang berpuluh tahun. Jejak kasih berlaku setiap hari. Kita boleh berborak dengan manusia sejauh di kutub utara, atau di tengah lautan Atlantik.

Dengan Facebook juga kita boleh berdakwah kepada insan-insan yang berada di hujung dunia. Kita tidak perlu lagi berlayar membelah lautan , untuk mengajak manusia kepada PENCIPTA, Tuhan yang mereka cari-cari selama ini.

Negatifnya, saya tidak mahu membincangkannya. Kerana yang negatif akan menjadikan saya stress. Marilah fikirkan yang indah-indah sahaja.

21 March 2010

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA


Hari ini, hari yang paling bersejarah buatku, kerana akhirnya aku berkesempatan untuk mula berblogging, ketika orang lain berduyun-duyun ke stadium FACE BOOK. Kehadiranku mungkin sudah terlewat, tetapi masih relevenkan,tunggu!